Yang Menarik Tentang Drama CHE PA Lakonan Namron

‘Sanggul Beracun’, ‘Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman’, ‘Sebuah Piala Seekor Kambing’, ‘Vespa Sharif Dol’, ‘Asyura’ dan yang terbaru, ‘Dukun Doktor Dani’ adalah di antara karya-karya hebat seorang figura serba boleh yang begitu dihormati ramai. Sabri Yunus, bukan nama asing lagi dalam industri seni tanah air. Memulakan langkah beliau sebagai penggiat teater, Sabri turut merupakan seorang pelakon yang cukup disegani, pelawak, pengacara dan juga seorang sutradara yang diiktiraf di majlis-majlis penganugerahan berprestij. Beliau kini kembali dengan sebuah lagi naskhah istimewa bertajuk ‘Che Pa’ yang bakal disiarkan di platform Astro First Eksklusif (saluran 480) pada akhir September 2017.

Pengalaman lebih dari 30 tahun dalam gelanggang seni ternyata membuka ruang dimensi tersendiri dalam dunia pengarahan yang kebanyakannya lahir dari kisah-kisah benar yang berlaku di sekeliling kita. Sabri terkenal dengan sentuhan beliau yang berkisar akan adat dan kebudayaan, sarat dengan mesej-mesej kerakyatan dan dalam ‘Che Pa’ ini, beliau sekali lagi memperjuangkan seni tradisional. Kali ini, ia adalah mengenai ‘Tarian Hadrah’. ‘Hadrah’ merupakan rutin tarian purba tempatan di mana barisan penari lelaki berpakaian perempuan.

Di Malaysia, kesenian tarian ‘Hadrah’ mula diperkenalkan sekitar tahun 1910 di Pulau Pinang dan kemudiannya menjadi amat popular pada tahun 1950-an dan 1960-an, terutamanya bagi penduduk di Utara Semenanjung Malaysia seperti Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

Menampilkan pelakon terkenal, Namron sebagai pengemudi utama bernama ‘Che Pa’, naskhah ini turut memperlihatkan kehadiran Ezany Nizariff sebagai ‘Che Puteh’, Amyza Aznan sebagai ‘Cik Puan’ yang turut merupakan bekas isteri Che Pa, pendatang baru Putri Hanan Ahmad Shukri sebagai ‘Bibah’, anak kepada Che Pa, serta arwah Yusri Edoo atau Pak Yus Jambu sebagai pemain gendang dalam kumpulan Hadrah tersebut. Ini turut merupakan lakonan terakhir beliau bersama Sabri Yunus.

… Che Pa dan kumpulan tarian hadrahnya popular pada suatu ketika dahulu. Mereka disanjung dan persembahan mereka cukup dinantikan-nantikan oleh penonton. Namun kini, zaman telah berubah dan ramai yang tidak mengerti mengapa perlu dihidupkan semula tarian atau seni yang menampilkan lelaki berpakaian, berhias, bersolek serta bersanggul seperti wanita. Walaupun sering diejek dan dimalukan kerana pekerjaannya, Che Pa amat mengagungkan tarian ini, yang pernah menjadi punca rezeki beliau membesarkan anak gadisnya. Bibah sebelum ini bangga dengan bapanya dan pujian demi pujian dikalungkan kepada bapa beliau dan nama itu kerap kali di bibirnya di kala bersama kawan-kawan. Sehinggalah beliau berkenalan dengan seorang lelaki dan cinta memusnahkan kasih seorang anak kepada bapa. Pujian-pujian yang dahulu mekar kini bertukar menjadi cacian dengan pandangan jijik serba malu dilemparkan kepada bapanya.

Che Pa kini di persimpangan. Beliau menerima satu tawaran untuk membuat persembahan dan inilah peluang beliau untuk mengangkat kembali kegemilangan ‘Hadrah’. Beliau cuba memujuk bekas ahli kumpulannya untuk menyertainya tetapi mereka enggan. Sama seperti Bibah, mereka malu dengan dunia ‘Hadrah’ yang pernah melonjakkan nama mereka. Ada di antara ahli kumpulan yang merasakan menyertai ‘Hadrah’ pada satu ketika dahulu adalah kesilapan terbesar yang pernah mereka lakukan. Kini mereka menyesal. Kini mereka bertaubat. Tetapi kenapa menghukum Che Pa? Dosakah Che Pa? Haramkah dunia yang digelumangi Che Pa? Saksikan pengakhirannya pada September ini di Astro First Eksklusif….

Komen via Facebook

Komen