Telemovie Karya Mior Hashim Manap & Shahrulezad Mohameddin, Khas Maal Hijrah Ini

Dua telemovie arahan pengarah terkenal Mior Hashim Manap dan Shahrulezad Mohameddin bakal menemui penonton setia saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) khas sempena sambutan Awal Muharam atau Maal Hijrah yang disambut seluruh umat Islam pada 22 September 2017 – 1439 Hijrah.

Disiarkan pada hari sama 22 September ini, telemovie karya Mior Hashim Manap bertajuk “Janji Allah” disiarkan pukul 3.05 petang menerusi TV1 manakala telemovie “Hijrah Di Ufuk Senja” arahan Shahrululezad Mohameddin menemui penonton saluran TV2, pukul 9.30 malam.

Karya Mior Hashim Manap dan Shahrulezad Mohameddin, Khas Maal Hijrah Ini Di RTM

“Janji Allah” menampilkan lakonan mantap Amerul Affendi, Nadiya Nissa, Suhaimi Zakaria, Wan Maimunah, dan Rahman Bakri bertemakan konflik kekeluargaan yang melibatkan seorang anak dengan ibu tirinya berkaitan amanah harta pusaka.

Kisahnya bermula dengan Mak Munah tinggal bersama anak OKU, Udin merupakan ibu tiri kepada Wawa yang telah kematian ayahnya. Wawa belajar di luar negara dengan wang tanah ayahnya yang dipajak setelah beberapa kali mendesak ibu tirinya memujuk ayahnya untuk berbuat demikian.

Wawa pulang bekerja di Malaysia setelah tamat belajar namun enggan bertemu ibu tirinya dan Udin. Wawa memberi tempoh seminggu kepada ibu tirinya untuk mengosongkan rumah uzur tersebut kerana beliau telah menjual tanah tersebut.

Keadaan menjadi kecoh kerana apabila cukup tempoh, pihak pembeli datang untuk merobohkan rumah yang didiami Mak Munah dan Udin. Wawa bergegas datang dan meminta penjelasan pihak pembeli yang mana Wawa berjanji untuk menebus kembali tanah tersebut.

Mujur majikan Mak Munah dan Udin, iaitu En. Musa masuk campur dan berjanji untuk membayar semula kepada pihak pembeli bagi tujuan penebusan tanah tersebut. Wawa yang insaf segera memohon maaf kepada Mak Munah. Namun adakah dia berjaya menuntut kemaafan daripada ayahnya?

Selami erti penghijrahan yang sebenarnya dalam telemovie “Hijrah Di Ufuk Senja” tentang kecelaruan yang dialami oleh seorang suami yang kehilangan isteri dan anak-anaknya akibat kecuaiannya sendiri. Ia menceritakan setelah kejadian yang menimpa keluarganya, Saiful dimasukkan ke hospital kerana tekanan perasaan. Dia merasa bersalah kerana menjadi punca isteri dan anak-anaknya mati dibunuh. Selepas pulang ke rumah dia asyik ternampak isteri dan anak-anaknya muncul dan bercakap-cakap dengannya.

Sementara itu Madiha turut dihantui perasaan bersalah kerana menghantar abangnya, Maman ke rumah Saiful sehingga terjadinya pembunuhan itu. Madiha mencari peluang untuk berterus terang dengan Saiful tetapi setiap kali berdepan Saiful, lidahnya kelu.

Suatu hari kereta Saiful rosak dan dibantu oleh Osman yang kemudiannya mempelawa dia belajar agama. Setelah Saiful bersetuju, Osman mengatur pertemuan Saiful dengan Tok Ayah iaitu guru agamanya. Saiful datang bersama Madiha dan Madiha mendapati ajaran yang disampaikan oleh Tok Ayah agak pelik lalu bertanya. Madiha dihalau oleh Tok Ayah dan pengikut-pengikutnya tetapi Saiful tetap berada di situ hingga tamat.

Esoknya Madiha datang ke pejabat Saiful dan memberitahu Saiful kebimbangannya tentang ajaran Tok Ayah tetapi Saiful seperti tidak mengendahkannya. Husna, kawan serumah Madiha telah menemui bukti bahawa ajaran Tok Ayah adalah ajaran sesat.

Madiha dan Husna menemui Saiful untuk memberitahunya. Rupanya Saiful sudah tahu dan telah membuat laporan kepada pihak berkuasa sehingga Tok Ayah ditangkap. Madiha tidak dapat lena pada malam itu kerana belum berterus terang lalu ke rumah Saiful.

Ikuti kesudahan jalan cerita lakonan Azhan Rani, Eenaz Mokhtar, Nadia Aqila, Ruzana Ibrahim dan Putri Syahadah Nurqseh ini.

Mior Hashim Manap di lokasi telemovie Janji Allah di TV1

babak dalam Janji Allah

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Komen via Facebook

Komen

Pilihan Telemovie Hayati Aidiladha di RTM

Seleksi telemovie pilihan dijanjikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena Aidiladha 2017 menerusi saluran TV1, TV2 dan TVi khas buat penonton setia salurannya. Pelbagai tayangan telemovie menarik penuh dengan pengisian dan penghayatan dan akan menemui penonton pada 1 dan 2 September ini.

Menerusi telemovie yang disediakan, hayati maksud pengorbanan dan keinsafan yang tersirat dalam telemovie bertajuk, ‘Ke Pintu Kaabah’ dan ‘Aku Tak Sesat’ (TV1), ‘Lembu Siapa’ (TV2) dan juga ’13 Tiang Cinta’ (TVi).

Telemovie Ke Pintu Kaabah

“Ke Pintu Kaabah” menampilkan lakonan berkesan pelakon Catriona Ross, di samping Tisha Samsir, Izzue Islam, Kuna Muzani, Mustapha Kamal, Z.Zamrie dan Assi Ismail mengisahkan Mek Som seorang ibu tunggal memendam hasrat untuk menunaikan ibadat haji ke Mekah. Kehilangan suaminya di laut menyebabkan kehidupan beliau bersama anaknya Fadilah semakin sukar.

Fadilah mengambil keputusan untuk bekerja di butik Puan Aisah di bandar bagi menambah duit simpanan ibunya ke Mekah. Farid yang baru pulang belajar dari luar negara tertarik dengan Fadilah dan mula berkawan dengannya. Sebenarnya Farid merupakan anak Puan Aisah dan beliau merahsiakan kepulangan ke Malaysia daripada pengetahuan ibu bapanya. Beliau berhasrat untuk hidup berdikari terlebih dahulu. Fadilah pula sering bercerita dengan Farid tentang hasrat ibunya hendak ke Mekah.

Menerusi “Aku Tak Sesat” pula ikuti kisah kepulangan Adha ke kampung yang telah dipandang serong oleh sebilangan besar orang kampung kerana kerjayanya sebagai composer muzik metal. Adha dianggap sesat kerana berkecimpung dalam dunia muzik metal. Ia dibintangi pelakon Hasnol Rahmat, Balqish Semundur Khan, Redzuan Adha, Syed Ali, Maimunah Ahmad, Fadhil Dani dan Rosnizam Zakaria.

Slot Citra khas Aidiladha di TV2 menyiarkan telemovie lakonan Sharifah Sakinah, Mohd. Amirullah Azmi, Fathil Dani, Delimawati dan Zain Hamid bertajuk “Lembu Siapa” pada 1 September ini, pukul 9.30 malam. Paparan kisah bermula dengan pemuda-pamuda kampung merungut dengan keadaan Halim melepaskan lembu-lembunya yang diwariskan dari arwah bapanya, berkeliaran di sekeliling kampung. Leteran mereka didengari oleh Mak Nor, emak Halim yang juga tidak puas hati dan bimbang dengan sikap anaknya yang sibuk dengan cita-cita menjadi penyanyi. Halim tetap pertahankan pendiriannya dengan cita-citanya.

Pak Tam, pemilik warung kampung, juga menegur sikap Halim. Situasi pendirian Halim mula berubah apabila terdengar Intan, anak Tok Baha kemalangan terlanggar lembunya. Mak Nor mengadu sedih kepada Halim kerana motosikal Intan telah remuk terlanggar lembunya. Lalu Halim beritahu Tok Baha, yang dia minta maaf dengan orang-orang kampung. Malah Tok Baha cadangkan agar Halim minta maaf kepada Intan.

Intan berpura-pura sakit, apabila terdengar terdengar suara Halim dan Mak Nor di luar rumahnya. Ketika Halim membeli makanan untuk Intan, Pak Tam memberitahu ada pelanggan hendak beli lembu untuk korban raya dan dia nasihatkan Halim agar beri makanan yang betul kepada lembu yang hendak dijual untuk korban. Intan yakin Halim boleh berubah dengan bantuannya.

Terus menghayati keberkatan sambutan Hari Raya Korban ini dengan tayangan telemovie “13 Tiang Cinta” lakonan mantap Beto Kusyairy, Siti Rawiyani, Nina Iskandar dan Shah Iskandar pada 1 September ini, pukul 2.00 petang dan ulangannya 9.00 malam di TVi.

Telemovie arahan Mikael Andre mengangkat kisah cinta tiga segi yang disampaikan dalam cara yang berbeza. Ikuti perjalanan watak Naim seorang pemuda yang sesat jalan dalam kehidupan. Pada satu hari Naim merampas beg tangan cikgu cantik bernama Uzma. Orang ramai menangkap Naim dan mahu menyerahkannya kepada polis. Namun Uzma merayu agar Naim dilepaskan memandang beliau telah mendapatkan balik begnya.

Naim tertarik dengan rupa dan baik hati Uzma. Maka Naim cuba mengekori Uzma namun tidak berjaya. Semasa mencari Uzma, Naim bertemu dengan Imran, seorang Ustaz dan pendakwah bebas. Imran cuba menyebarkan agama Islam di sebuah kampung Orang Asli. Oleh kerana Naim tiada tempat tinggal, Imran mengajak Naim duduk dengannya. Naim kemudiannya mula tertarik dengan kerja amal yang dibuat oleh Imran. Maka Naim turut mendalamkan pengetahuan mengenai Islam.

Pada satu hari Naim bertemu dengan Uzma yang mengajar di kampung Orang Asli itu. Mereka berkawan. Hubungan baik Imran dan Uzma membuatkan Naim cemburu. Dia menyebarkan fitnah tentang Ustaz Imran menyatakan dia datang ke kampung itu untuk merampas tanah Orang Asli dan bukan semata mata untuk berdakwah. Apabila Imran bersemuka dengan Naim, Naim mengaku beliau memfitnah Imran kerana cemburu terhadap perhubungan mesra antara mereka berdua.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Komen via Facebook

Komen

Mira Filzah Kongsi Cerita Raya Selebriti Popular Dalam RAIKAN RAYA

Pelakon cantik Mira Filzah bakal berkongsi dengan penonton setia Radio Televisyen Malaysia (RTM) persiapan menjelang Aidilfitri selebriti popular tanah air dalam enam episod rancangan khas bertajuk “Raikan Raya”. Turut dibantu Muaz Mohamad yang menemu bual seorang penata gaya dalam setiap episod terdapat juga segmen mengundang chef selebriti Dr. Ezani yang berkongsi resepi menarik juadah hari raya menyelerakan untuk dicuba penonton.

Bersiaran mulai 19 hingga 24 Jun ini, pukul 11.00 pagi menerusi saluran TVi, artis terkenal yang diundang Saharul Ridzwan, Ayda Jebat, Fattah Amin, Juliana Evans, Amar Asyraf, Farahdhiya, Redza Rosli, Atikah Suhaimie, Sharifah Amani, Azlan Typewriter, Tomok dan Diana Danielle.

pengacara...Mira Filzah

Mira Filzah Kongsi Cerita Raya Selebriti Popular Dalam “Raikan Raya” di TVi

Artis ini tampil dalam segmen ‘Cerita Raya’ berkongsi tentang persiapan mereka menjelang raya kelengkapan raya untuk dibawa pulang ke kampung, juga juadah kegemaran mereka di pagi raya.

Dalam segmen ‘Seri Aidilfitri’, Muaz Mohamad secara santai tampil menemubual penata gaya yang berkongsi menerangkan tentang fesyen dan jenis-jenis kain serta potongan yang sesuai digayakan sempena hari raya. Seorang yang sangat optimis kerjaya dan sangat mementingkan gaya yang elegan dan cantik, pereka fesyen berbeza ditampilkan setiap episod termasuklah Faizal Harun Nasution, Zaimi Zulkafli (Pensyarah Fesyen dari UiTM), dan Marini Mat Zain.

Menariknya segmen sama turut memberi tumpuan kepada fesyen kanak-kanak oleh Scha Fadly seorang pereka fesyen dan penata gaya kanak-kanak. Scha menerangkan bahawa fesyen kanak-kanak mementingkan keselesaan. Bahan yang sesuai untuk pakaian kanak-kanak adalah kain kapas kerana tidak panas dan menyerap peluh. Potongan juga haruslah longgar supaya mereka mudah bergerak. Warna yang lembut adalah lebih sesuai untuk kanak-kanak.

Sementara itu penata gaya dari iBawal iaitu Nur Azleen Soliha menerangkan tentang jenis-jenis tudung yang sesuai digayakan sempena Hari Raya. Beliau juga menunjukkan cara-cara pemakaian serta gaya-gaya ikatan tudung. Seterusnya Hasfitri Mohd Yusof memberi pandangannya tentang fesyen warga yang lebih berusia atau warga emas. Dia menerangkan tentang pemilihan fesyen, warna dan aksesori yang sesuai bagi golongan ini.

Nantikan juga episod memfokuskan kepada suai dan padan. Pengacara segmen ini, menemu ramah Qamel Ayop seorang Pereka Fesyen dan Intan Nor Azrenda, jurucakap Senses. Qamel menerangkan bahawa konsep suai dan padan adalah bergantung kepada bentuk badan si pemakai. Warna dan corak pakaian akan menentukan kesesuaiannya. Jika seseorang berbadan besar maka warna yang sesuai adalah warna gelap. Intan pula menunjukkan cara-cara solekan yang sesuai dengan warna kulit seseorang.

Tidak ketinggalan segmen ‘Selera Syawal’, dimana Dr. Ezani menunjukkan cara-cara memasak juadah masakan untuk menyambut hari raya ataupun sebagai juadah berbuka puasa yang menyelerakan iaitu ayam mentega pedas, ayam bali, daging kerisik serai, serunding lada hitam, mee rebus jalapeno dan lontong kari hijau. Dikongsikan juga resepi menyediakan pencuci mulut termasuklah seri muka mangga, bubur nangka emas, puding katira, air bandung ria, kek kukus longan dan ais krim goreng sos kastad kurma madu.

Di akhir rancangan diselitkan pandangan masyarakat umum tentang persediaan yang mereka buat untuk menyambut Hari Raya.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Komen via Facebook

Komen

Telemovie Pilihan Malam Raya di RTM

Radio Televisyen Malaysia (RTM) memberi pilihan kepada penonton setia salurannya menonton tiga telemovie menarik mengangkat tema berbeza yang disiarkan malam raya ini menerusi TV1, TV2 dan TVi.

TV1 memilih menghiburkan penonton dengan tayangan telemovie komedi bertajuk “Dengan Beetle Kami Beraya”, pukul 12.30 tengah malam. Kongsikan kisah lucu dan mencuit hati menggandingkan pelakon utama Ajak Shiro, Sharifah Sakinah, Normah Damanhuri, Farzana Latiff dan adik Adam.

pelakon utama telemovie Sana Aidil Sini Fitri

Kisahnya berkembang dengan watak Salman sudah dua tahun tidak pulang beraya di kampungnya kerana kerja. Tok Wan, ibu kepada Salman, merajuk dengan anaknya sekeluarga jika tidak dapat pulang beraya di rumahnya pada tahun ini. Salman memujuk isterinya Munirah untuk pulang ke kampungnya. Walaupun Munirah tidak bersetuju tetapi akhirnya akur setelah mendengar rayuan Tok Wan. Salman sekeluarga merancang untuk pulang.

Baru nak keluar rumah kereta mereka menghadapi masalah. Oleh kerana malam raya, tiada satu mekanik pun mahu membantu Salman sekeluarga dan memaksa Salman untuk menggunakan kereta lamanya Beetle.

Munirah ternyata tidak setuju. Pelbagai masalah yang mereka hadapi di sepanjang perjalanan pulang terutamanya di setiap hentian rehat dan rawat. Walaupun kereta Beetle Salman kelihatan uzur tetapi masih bertahan untuk perjalanan yang jauh. Dengan meredah pelbagai rintangan sepanjang malam adakah mereka berjaya pulang ke kampung dengan selamat? Mampukah raya kali ini diraikan mereka dengan meriah?

Penonton TV2 pula usah ketinggalan meluangkan masa menyaksikan telemovie bertajuk “Sana Aidil Sini Fitri”, pukul 10.00 malam yang menampilkan lakonan mantap Haleeda Mazlin, Ozlynn Wati, Rashid Jaafar, Anne Abdullah dan Taufik Hanafi.

Ikuti kisah Azhar yang telah di berhentikan kerja tetapi telah di beri peluang oleh En Zamzuri, seorang usahawan berjaya. Bimbingan oleh En Zamzuri akhirnya menjadikan Azhar seorang usahawan air mineral yang berjaya.

Dulu Azhar tidak di endahkan kerana miskin tetapi sekarang semua orang berebut mendapatkan perhatian Azhar. Malang bagi Azhar apabila Shamsul telah melarikan duit syarikat. Jatuh Azhar tidak lama setelah Shamsul di tangkap polis tiga hari sebelum Aidil Fitri. Baru lah Azhar sedar betapa hati manusia boleh berubah dalam masa yang singkat.

Sementara itu bergelak ketawa dengan telemovie komedi “Kecoh-Kecoh Raya” disiarkan pukul 9.00 malam menerusi saluran TVi. Telemovie lakonan Nadiya Nisaa di samping Fizz Fairuz, Jasmin Hamid, Rusdi Ramli, Faezah Elai dan Nasir Bilal Khan ini berkongsi kisah Sham yang tidak dikurniakan anak setelah 7 tahun mendirikan rumahtangga. Satu hari bapanya mengaturkan perkahwinan dengan seorang gadis kampung bernama Murni, rancangan Sham hendak kahwin satu lagi bocor dan berlaku pergaduhan besar di pagi raya.

babak dalam telemovie Sana Aidil Sini Fitri

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Telemovie Dengan Beetle Kami Beraya di TV1

Ozlynn Wati dan Taufiq Hanafi dalam telemovie Sana Aidil Sini Fitri

Nadiya Nisaa...pelakon utama Kecoh-Kecoh Raya di TVi

drama Dengan Beetle Kami Beraya

Komen via Facebook

Komen

RTM Ada 67 Program Aidilfitri Bertemakan Sucikan Hati, Salam Aidilfitiri

Ramadan berlalu Syawal menjelma. Setahun sekali pada sambutan Aidilfitri ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengangkat nilai sebenar di sebalik makna sambutan Hari Raya itu sendiri menerusi tayangan program-program terbaik yang dipilih tontonan utama seisi keluarga mahupun para tetamu yang datang beraya.

Sucikan Hati, Salam Aidilfitiri

Sucikan Hati, Salam Aidilfitri RTM

RTM menyediakan keseluruhannya 67 program eksklusif Aidilfitri yang merangkumi genre telefilem & filem, majalah & dokumentari, hiburan, juga bual bicara. TV1 menayangkan 45 program manakala TV2, dan TVi masing-masing menjanjikan 15 dan 7 program terbaik.

Pengisian program raya RTM tahun ini bertemakan Sucikan Hati, Salam Aidilfitiri.

Nantikan tayangan program istimewa Aidilfitri di TV1, “Gema Takbir 2017” disiarkan secara langsung malam raya, pukul 9.00 malam bersama Ustaz Mohd Zafiri Mohd Daud mengupas tajuk permulaan, pertengahan dan penghujung Syawal.

Untuk hiburan seisi keluarga pula beberapa telemovie, drama dan telefilem menarik telah disediakan. Slot Senyum Syawal, hari raya pertama dan kedua, pukul 10.00 pagi menyiarkan telemovie “Dengan Beetle Kami Beraya Lagi” dan “Serondeng Daging Abang Sado”.

Sementara itu dalam slot Panggung Raya pula, disiarkan telemovie “Hidup Susah Mati Pun Susah”, “Petunjuk”, “Bukan Raya Terakhir” juga filem “Rock Oo”, “Lagenda Budak Setan 2” dan “Misi Cantas Cinta” lakonan Maya Karin, Bront Palare, Remy Ishak dan Izara Aishah. Bagi peminat drama bersiri “Pergilah Air Mata”, jangan lupa ikuti empat episod khas raya mengisi slot Widuri mulai 27 Jun ini, pukul 7.00 malam.

Program “Ketuk Ketuk Syawal” dan “Teh Tarik Che Ta Raya” bersiaran hari raya pertama dan kedua, pukul 12.00 tengah hari. Selain itu penonton akan berhibur dengan program “Temasya Aidilfitri”, hari raya pertama, pukul 8.30 malam, muzikal komedi dengan menampilkan artis Ifa Raziah, Alyah, Razak Ahmad, Khai Bahar, Elvina, Ruhainies, dan Alif Hadi. Selain itu program khas terbitan RTM mengisi Syawal ini antaranya “Tumit Tinggi Raya”, “Sentuhan Kasih Syawal”, “Do-It Khas Raya…Jom Hijau”, “Jurnal BES Aidilfitri 2017” dan “Panorama Khas Raya”.

TV2 pula tampil dengan pilihan program bermula telemovie disiarkan malam raya, pukul 10.00 malam bertajuk “Sana Aidil Sini Fitri” lakonan Haleeda, Ozlyn, Rashid Jaafar, Anne Abdullah dan Taufik Hanafi. Hari raya pertama turut disiarkan “Baju Raya Tak Berwarna”, pukul 2.00 petang dan “Rendang Punya Pasal”, pukul 9.00 malam. Keriuhan dua pengacara Ieda Moin dan Noorkhiriah diteruskan dalam “Kecoh Dapur Raya”, hari raya pertama, pukul 4.00 petang.

Istimewa hari raya kedua dimeriahkan dengan “Konsert Hati Emas Kembara 2014”, pukul 2.00 petang, persembahan mantap kumpulan Kembara yang mengembalikan nostalgia kepada peminat setianya, dan satu lagi program muzikal “#Instaraya Alif Satar & Siti Nordiana”, akan disiarkan pukul 10.00 malam.

Menariknya lagi, TVi turut memberikan pilihan kepada penonton menyaksikan persiapan dan persediaan hari raya dalam program mendekorasi kediaman peminat terpilih oleh pereka dalaman terkenal, Faizal Zain dalam “Nuansa Raya”, mulai 20 hingga 25 Jun ini, pukul 12.00 tengahari. Bersama hos Mira Filzah dalam “Raikan Raya”, mulai 19 hingga 24 Jun ini, pukul 11.00 pagi pula berkongsi persiapan menyambut raya bersama artis antaranya Saharul Ridzwan dan Ayda Jebat. Turut disiarkan “Biscotti : Istimewa Raya”, hari raya pertama, pukul 9.00 pagi, berkongsi resepi istimewa lebaran disediakan Chef Zam memeriahkan Aidilfitri ini.

Bagi menyemarakkan lagi samburan Hari Raya Aidilfitri bersama RTM tahun ini, saluran radio menerusi NasionalFM, Radio Klasik, KLfm, TRAXXfm, MINNALfm, ASYIKfm, dan radio negeri seluruh negara juga tidak ketinggalan mengudarakan program-program menarik khusus buat pendengar setia sepanjang musim perayaan ini.

NASIONALfm mengajak pendengar mengikuti dua program; drama khas Raya “Nota Seorang Anak”, hari raya kedua, pukul 3.15 petang, lakonan Norkhiriah, Khir Rahman, Ahmad Tarmimi Siregar, Beto Khusairy dan Wan Maimunah, kisah kekeluargaan ratapan anak yang tidak pernah merasai kasih sayang seorang ibu. Diikuti showcase “Xpresi Raya AKPK & Radio RTM 2017”, hari raya ketiga dan keempat, pukul 9.15 malam menampilkan artis antaranya Mark Adam, dan Farawahida.

Dua program khas disediakan Radio Klasik iaitu “Ketupat Rendang”, pukul 9.15 pagi, 28 Jun, 30 Jun dan 3 Julai 2017, penyampai dan pendengar Radio Klasik menyanyikan lagu raya popular yang menggamit kenangan. Diikuti “Sendaloka Aidilfitri”, 28 Jun ini, pukul 11.15 pagi, program berbalas pantun artis dan penyampai Radio Klasik.

Saluran KLfm turut menambah kemeriahan Hari Raya Aidilfitri dengan sketsa keluarga bahagia menyambut raya, drama raya “Oh Raya”, hari raya pertama, pukul 12.15 tengah hari bersama Kartina Aziz, Shajiri, dan Nadir Nordin. Nantikan juga showcase bersama artis Najwa Latif, Rosario, Baby Shima dan Jay Jay dalam “Teh Tarik 1 Istimewa Aidilfitri 2017”, hari raya kedua, pukul 3.00 petang.

Sambutan Aidilfitri dikongsi dengan rasa muhibah dan meriah stesen berbahasa Inggeris TRAXXfm yang menghiburkan pendengar dengan “TRAXX Express Contest”, 12 hingga 16 Jun ini, pukul 9.15 pagi dan “Sound Journey : Raya Edition”, 25 Jun ini, 12.00 tengah malam.

Saluran radio berbahasa Tamil, MINNALfm menyiarkan program “Drama Khas Raya”, hari raya pertama, pukul 7.30 pagi. Manakala ASYIKfm popular dalam kalangan masyarakat Orang Asli juga tidak terkecuali menyediakan program “Bintang Khas Asyik”, 1 Julai ini, pukul 6.00 petang. Selain daripada itu, radio-radio negeri juga turut menyediakan program-program khas masing-masing sepanjang Syawal ini.

Sucikan Hati, Salam Aidilfitiri

Komen via Facebook

Komen

Sucikan Hati RTM Ada 47 Program Baharu Sepanjang Ramadan

Radio Televisyen Malaysia (RTM) sentiasa berbesar hati dalam menyampaikan mesej positif yang dikongsikan bersama-sama penonton dan pendengar setia salurannya apatahlagi dalam menghayati sambutan bulan Ramadan yang bakal menjelma.

Tahun ini, RTM tampil dengan tagline “Sucikan Hati, Salam Ramadan” untuk TV1, TV2, TVi dan radio menjanjikan tayangan 47 program baharu yang merangkumi program berbentuk keagamaan, telemovie, drama bersiri, dokumentari, majalah dan masakan tontonan seisi keluarga.

Lebih istimewa, kali ini RTM tampil dengan lagu tema dinyanyikan oleh UNIC bertajuk ‘Sucikan Hati’.

47 Program Baharu Sucikan Hati, Salam Ramadan di RTM

Program tonggak iaitu ‘Syahadah 2016 musim ke-12’ bertemakan Raikan Nur Islam, memaparkan keindahan Islam di negara Maghribi (Morocco) dan asimilasi budaya saudara kita (mualaf) di Malaysia. Ia disiarkan mulai 26 Mei ini, setiap hari, menerusi TV1 pukul 6.30 petang, TV2 pukul 7.00 petang manakala TVi pula mulai 27 Mei ini, pukul 7.30 malam.

Saluran utama TV1 menyiarkan 30 episod program ‘Ketuk-Ketuk Ramadan musim ke-10’ mulai 26 Mei ini, setiap hari, pukul 12.30 tengah hari. Kali ini menampilkan resepi menarik dengan artis seperti Faye Kusairi, Shah Jazle, Yabang (Khalifah), Elly Mazlein, Ozlynn Wati, Khai Bahar, Wan Sharmila, Suhaimi Yusoff, Ogy, Elfira Loy dan ramai lagi.

Saksikan drama bersiri 30 episod sarat pengajaran dan keinsafan bertajuk “Seharum Mawar” lakonan Ika Nabila, Hafidz Roshdi, Fezrul Khan, Atikah Suhaime, dan Jaslin Puasa. Empat telemovie khas disiarkan bertajuk ‘Srengenge’, ‘Detik Berputar’, ‘Kasut Untuk Ayah’ dan ‘Nafas Yang Tertinggal’. Diikuti program masakan ‘Tumpang Masak’ dan ‘Singgah Rasa’, program majalah travelog ‘Kuliah Ramadan’, ‘Destinasi Agung’, ‘Destinasi Hijau’ dan ‘Salam Kopi Pak Belalang’.

TV2 pula tampil dengan dua drama bersiri bertajuk ‘Cerita Ramadan Hazim’ dan ‘Nazar Cinta Ramadan’, juga program ‘Kecoh Dapur’ gandingan pengacara Ieda Moin dan Noorkhiriah. Turut disiarkan program travelog ‘Musafir’ yang menampilkan Mawi sebagai pengacara mengembara ke beberapa desa terpencil seluruh Malaysia mencari keunikan masyarakat pedalaman meraikan bulan Ramadan.

Selain itu, TVi juga berkongsi program khas ’Sufi siri 2’, membincangkan topik keagamaan dan motivasi dalam kehidupan seharian juga program masakan “Biscotti”, menampilkan Chef Zam menyediakan beraneka kek dan biskut khas buat penonton mencubanya.

Pendengar setia saluran radio milik RTM turut dijanjikan dengan pelbagai program utama termasuklah ‘Jelajah Ramadan 2017’ yang merupakan program tonggak saluran radio RTM setiap tahun. Memasuki tahun yang ke-6, ia bakal menjelajah ke seluruh negara dengan berkongsi aktiviti mendekati orang ramai mulai 5 hingga 16 Jun 2017.

Radio Klasik berkongsi dengan pendengar segmen secara langsung, ‘Nur D’Klasik’, soal jawab berkaitan Ramadan bersama-sama tokoh agama jemputan. Manakala NASIONALfm pula tampil dengan segmen drama khas Ramadan bertajuk ‘Monolog Terakhir’ dan rancangan siaran langsung hijrah khas ‘Islam Pilihanku’, menampilkan personaliti mualaf dalam pencarian pegangan sebenar bertonggakkan Islam.

KLfm turut mengetengahkan segmen ‘Dapur KL’, berkongsi resepi masakan unik daripada warga kota Kuala Lumpur yang datang dari serata negeri, sementara radio berbahasa Inggeris RTM, TRAXXfm menyediakan program ‘Reflections With Mizz Nina’, temu bual istimewa perkongsian nilai-nilai murni Islam secara universal dan saluran radio ASYIKfm yang majoriti pendengarnya terdiri daripada kaum orang asli dengan segmen ‘Fitrah Ramadan’, petikan berita tentang aktiviti bulan Ramadan di seluruh Malaysia.

Selain daripada itu, radio-radio negeri juga turut menyediakan program-program khas masing-masing sepanjang Ramadan ini.

Komen via Facebook

Komen

Penghibur Popular Gamatkan Konsert 7117

Kehadiran penonton memenuhi Auditorium Perdana Angkasapuri, Kuala Lumpur malam Ahad lalu membuktikan “Konsert 7117” yang diadakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) sempena sambutan ke-71 tahun meraikan penonton dan pendengar setianya diterima baik penonton.

Sepanjang 71 tahun bersiaran, stesen penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah melalui pelbagai proses transformasi pembaharuan yang dibuat melalui radio, televisyen dan media baharu seperti dari segi teknik penyampaian, reka bentuk set, keterampilan penyampaian dan kualiti kandungan. Ianya ternyata cukup memberansangkan dan terus relevan menjadi pilihan ramai.

poster Konsert 7117

Konsert 7117 Gamatkan Auditorium Perdana Angkasapuri Raikan 71 Tahun RTM

Rata-rata penonton yang hadir teruja menyaksikan persembahan artis pujaan mereka beraksi di atas pentas Konsert 7117 terbitan Unit Hiburan TV RTM yang simbolik namanya dipilih membawa maksud perlambangan 71 tahun RTM pada tahun 2017. Konsert yang diadakan bagi menunjukkan penghargaan RTM terhadap sokongan penonton dengan menampilkan wajah-wajah baru dan generasi pelapis di dalam industri ini serta turut menampilkan barisan artis popular negara.

22 orang pemuzik Orkestra RTM di bawah pimpinan muzik Raja Sham dan Nur Shafiqah Shuib mengiringi persembahan artis dalam konsert yang berlangsung dua jam disiarkan secara langsung pukul 9.00 malam di TV2, Ahad lalu.

Menampilkan gandingan pengacara Ivan Toh, Jeed Zulkifli dan Nadhir Nordin (Nasionalfm), konsert ini diserikan dengan persembahan oleh artis tersohor Dato’ Ramli Sarip, dan Dato’ M.Nasir, di samping Altimet, Syamel, Hael Husaini, Irfan Harris, Wany Hasrita dan Ismail Izzani.

Persembahan turut dihangatkan dengan kemunculan artis kelahiran pencarian bakat RTM Azharina Azhar (Juara Bintang RTM 2001), Asmidar (Naib Juara Bintang RTM 2001), Misha Omar (finalis Bintang RTM 2001), Ernie Zakri (Juara Bintang RTM 2009), Rosario (Juara Bintang RTM 2016), Chernice (Juara Bintang AiMinnal 2016), Rushini (Anugerah Khas Bintang AiMinnal 2016) dan Sevendays (Juara Rentak Juara 2017).

Persembahan pembukaan lagu ‘Inspirasi’ yang menggandingkan Ernie Zakri, Asmidar dan Rosario menerima tepukan penonton yang ternanti-nantikan persembahan artis kesayangan mereka beraksi di pentas.

Kemudiannya muncul penyanyi Altimet mempersembahkan lagu ‘Amboiii’ yang turut dinyanyikan sama oleh penonton yang membanjiri Auditorium Perdana. Diikuti lagu ‘Jangan Marah’ oleh Ernie Zakri.

Persembahan penyanyi Azharina Azhar yang mendendangkan lagu terbaharu bertajuk ‘Sekian Terima Kasih’ juga tidak kurang hebatnya. Tambah menghangatkan pentas dengan nyanyiannya yang bersahaja menyampaikan lagu ‘The Greatest’ duet bersama Hael Husaini.

Kumpulan yang baru dijulang sebagai pemenang pertandingan Rentak Juara 2017, Sevendays juga nyata mendapat sorakan hebat peminatnya menyanyikan lagu ‘Sekadar Di Pinggiran’ dan single terbaharu mereka bertajuk ‘Memori’.

Persembahan artis baharu popular Wany Hasrita dengan lagu ‘Menahan Rindu’, Ismail Izzani menyampaikan lagu ‘Sabar’ dan lagu ‘Redha’ nyanyian Irfan Haris menggamatkan suasana dengan tepukan peminat setia mereka yang hadir memberikan sokongan.

Kemunculan Arul (Sevendays) dan Chernice pula menyanyikan lagu ‘Setia Bersama’ ciptaan Yuri Edris, diikuti lagu ‘Ku Ke Udara Lagi’ gandingan bakat-bakat kelahiran RTM iaitu Rosario, Chernice dan Rushini.

Setelah itu penyanyi Asmidar mengambil tempat mendendangkan lagu ‘Bahtera Merdeka’ dengan caranya yang tersendiri. Transisi kemeriahan konsert diteruskan dengan kemunculan Altimet sekali lagi menghiburkan dengan lagu popularnya, ‘Bangkit’.

Antara artis yang ditunggu-tunggu termasuklah Misha Omar yang memukau penonton dengan ‘Di Sudut Kamar Hatiku’ dan duet dengan Hael Husaini menerusi lagu ‘Terimaku Seadanya’. Penampilan Syamel malam itu menyerlah dengan vokal yang mantap mendendangkan lagu ‘Lebih Sempurna’ dan lagu ‘Dirgahayu’ dinyanyikan bersama Ernie Zakri.

Kemuncaknya ruang Auditorium digamatkan dengan persembahan mantap penuh bertenaga Dato’ M. Nasir yang menyampaikan lagu ‘Gerhana’ diikuti Dato’ Ramli Sarip menghiburkan peminat dengan lagu ‘Teratai’. Pentas konsert malam itu turut menyaksikan gandingan dua penghibur tersohor negara sepanjang zaman ini beraksi dengan lagu ‘Mentera Semerah Padi’.

Wany Hasrita menyampaikan lagu Menahan Rindu

The Greatest nyanyian Azharina & Hael

Redha nyanyian irfan haris

Altimet menyampaikan lagu Bangkit

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Komen via Facebook

Komen